Tuesday 18 December 2012

ISU & TRENDA DALAM PENDIDIKAN KHAS


1.0  Pendahuluan
Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru jugalah yang merancang dan membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.
Dengan itu, pentaksiran yang tepat dan berkesan perlu dijalankan oleh guru di dalam bilik darjah untuk membantu guru sendiri dalam mempertingkatkan pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta membantu guru dalam mengesan kelemahan murid seterusnya memperkembangkan lagi teknik, kaedah dan strategi pengajaran guru agar sesuai dengan tahap dan kemampuan murid.  
Manakala, ujian ialah salah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995).
Bagi mengupas tugasan ini dengan lebih mendalam lagi, saya telah mengumpulkan sedikit sebanyak maklumat mengenai pentaksiran dalam Pendidikan Khas agar dapat memahami tajuk soalan kerja kursus dengan lebih baik dan bakal menghuraikannya dengan lebih berkesan.


1.0  Konsep Pentaksiran
Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000; Pentaksiran adalah merupakan satu pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu. Semua maklumat yang diperoleh daripada pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid seterusnya meningkatkan pencapaian murid tersebut.
Pentaksiran juga merupakan proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah. la merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan. la hendaklah dilaksanakan secara tidak formal selaras dengan Seksyen 19 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Manakala menurut Mokhtar Ismail, pentaksiran ialah langkah untuk menentukan tahap sejauhmana seseorang memiliki sifat tertentu. 
Menurut Popham (2000), beliau berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran merupakan proses yang melibatkan pengumpulan data-data kuantitatif mengenai pembelajaran atau perubahan perlakuan pelajar akibat daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Nilai kuantitatif ini melambangkan tahap atau kedudukan pencapaian pelajar dalam sesuatu aspek yang dinilai. 
Pentaksiran yang dilakukan mestilah mengikut tahap kebolehan dan standard perkembangan seseorang murid. Bukti dan data pencapaian murid perlu dikumpulkan dalam satu tempoh tertentu untuk mentaksir pembelajaran dan pemahaman mereka. Bukti dan data ini boleh direkodkan dalam pelbagai bentuk. Contohnya lembaran kerja, portfolio, jurnal, dan ujian seperti ujian diagnostik di mana akan menggambarkan tahap kebolehan, kekurangan dan kelebihan seseorang murid.

1.1      Tujuan Pentaksiran
Menurut Peirangelo & Giullian, G (2006), tujuan pentaksiran adalah untuk pemeriksaan dan pengenalpastian. Selain itu, pentaksiran juga bertujuan untuk menentukan kelayakan dan melakukan diagnosis serta dalam pengajaran dan penilaian.
Dalam Pendidikan Khas, pentaksiran bertujuan memberi maklumat dan gambaran tentang tahap penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Dengan cara itu,guru dapat mengesan punca masalah yang dihadapi murid, merangka intervensi yang sesuai, memilih strategi pengajaran yang tepat dan menempatkan murid sesuai mengikut tahap kebolehan masing-masing.  
Manakala tujuan keseluruhan pentaksiran ialah untuk kemajuan murid dalam pembelajaran. Pentaksiran memberikan murid, ibu bapa dan guru maklumat yang terperinci tentang perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Maklumat hasil pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid dan meningkatkan pencapaiannya.

1.2      Proses Pentaksiran

Pengumpulan

Analisis 

Penilaian

Penentuan

Cadangan
 


                                                   Proses Pentaksiran 

Terdapat lima komponen utama yang terlibat dalam proses pentaksiran iaitu pengumpulan, analisis, penilaian, penentuan dan cadangan.
Bagi pengumpulan, proses yang terlibat ialah mengesan dan mengumpul maklumat dari pelbagai sumber latar belakang seperti rekod sekolah, sejarah perubatan dan sebagainya. Proses analisis pula melibatkan pemprosesan dan kefahaman mengenai corak sejarah pendidikan, sosial, perkembangan, persekitaran, perubatan serta emosi murid. Manakala proses penilaian pula meliputi aspek akademik, emosi, persepsi, bahasa, fisiologi, kognitif dan perkembangan perubatan untuk menentukan tahap kekuatan dan kelemahan individu murid. Seterusnya ialah proses penentuan. Tindakan yang perlu diambil ialah menentukan ciri-ciri kebolehan dan ketidakbolehan murid serta pengetahuan tentang kriteria bagi setiap kategori kanak-kanak pendidikan khas. Pada akhirnya, proses cadangan melibatkan penempatan pendidikan dan program yang perlu dijalankan oleh guru sekolah dan guru kepada ibu bapa.


1.1      Jenis-jenis Pentaksiran
~pentaksiran kemahiran pembelajaran asas
~pentaksiran kemahiran bahasa (membaca, menulis dan lisan)
~pentaksiran kemahiran matematik
~pentaksiran kemahiran sosial dan tingkah laku

Pentaksiran boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah lain tidak semestinya menggunakan pensel dan kertas. Contohnya ujian kecergasan, pemerhatian, temu bual, projek, portfolio dan sebagainya. Pemilihan kaedah bergantung kepada jenis maklumat yang diperlukan. Umpamanya, kemahiran bermain bola tampar boleh diukur melalui pemerhatian sementara nilai dan sikap boleh diukur melalui temu bual. Dalam mentaksir kemahiran juga, guru boleh membuat rujukan berdasarkan senarai semak, temubual, temuduga, perbincangan bersama dan persembahan kendiri oleh murid tersebut. Jadi,  kaedah dan alat ukur yang sesuai perlu digunakan agar pentaksiran yang dibuat benar-benar berkualiti. 

1.0  ISU UJIAN PENTAKSIRAN:
PENTADBIRAN UJIAN PENILAIAN SUMATIF (PERTENGAHAN PENGGAL DAN UJIAN AKHIR TAHUN) TIDAK DIJALANKAN
Penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.
Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu murid-murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian tetapi untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid-murid. Dengan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dicapai oleh pelajar dapat diketahui.
Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred yang diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara individu dalam satu-satu bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau kumpulan pelajar. Dengan cara ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu misalnya kumpulan pelajar lemah, sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti penilaian pada akhir penggal, peperiksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya. 


1.1      Kesan pentadbiran ujian penilaian sumatif (Pertengahan Penggal dan Ujian Akhir Tahun) tidak dijalankan
            Kesan utama yang dapat dilihat apabila tiada pelaksanaan ujian am dilakukan ialah penempatan murid-murid yang tidak sekata. Contohnya di dalam kelas A, terdiri daripada dua aras murid yang iaitu murid aras tinggi dan murid aras rendah. Jurang perbezaan pembelajaran sangat berbeza di antara mereka yang mana murid aras tinggi dapat menangkap pengajaran dan pembelajaran dengan baik sekali selayaknya diinklusifkan  manakala murid aras lemah masih memerlukan bimbingan daripada guru. Manakala dalam kelas B pula masih berlaku situasi yang sama iaitu terdapat murid yang dapat memahami pengajaran dengan lebih cepat malah menyiapkan aktiviti dengan pantas sekali. Pada pendapat saya, murid aras tinggi di dalam kedua-dua kelas ini boleh digabungkan agar  mereka dapat belajar secara berkesan dan bermakna, seterusnya sesuai dengan tahap dan aras kemampuan mereka.
Kesan kedua ialah berlaku pembaziran masa kepada murid aras tinggi kerana perlu menunggu murid lemah pada setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Mungkin alasan pengayaan diberikan tetapi adakah ianya benar-benar dilaksanakan kepada murid?
Kesan daripada persekitaran juga tidak dapat dinafikan. Apabila berlaku perbezaan aras yang ketara di antara murid, akan berlaku persaingan yang tinggi untuk murid-murid aras rendah agar mereka dapat menyaingi murid aras tinggi dalam pembelajaran. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ilmu pada hari tersebut seperti kawan-kawan mereka yang lain. Berbeza pula dengan aras tinggi, mereka akan sentiasa diminta untuk menunggu rakan yang lemah dan nilai sabar diterapkan. Benar, tetapi sekiranya ianya terlalu kerap dilakukan akan menyebabkan mereka kurang persaingan dan sentiasa berada dalam kedudukan selesa, releks dan bersenang hati. Malah, ada yang memandang rendah terhadap kemampuan rakan kerana lambat untuk memahami pembelajaran pada hari itu. Apa yang paling menakutkan saya ialah ada murid yang sanggup menolak latihan pengayaan yang diberi dengan alasan kenapa dia perlu membuat kerja lebih sedangkan rakan yang lain belum pun sempat menyiapkan kerja tersebut. Mereka lebih senang untuk memilih keadaan yang tidak membebankan mereka.
Akhir sekali, proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku tidak sesuai dengan aras dan tahap kemampuan murid. Guru perlu menyediakan dua tajuk atau dua kemahiran pada satu-satu masa agar murid dapat belajar dengan bermakna. Jika tidak, guru akan mengajar suatu ilmu yang telah diketahui oleh murid aras tinggi dan suatu ilmu yang terlalu tinggi untuk dicapai oleh murid dari aras rendah. Jadi, masa tersebut merupakan satu kerugian kepada murid-murid untuk mendapat ilmu secara bermakna untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

1.1      Cadangan Penambahbaikan pentadbiran ujian penilaian sumatif (Pertengahan Penggal dan Ujian Akhir Tahun) tidak dijalankan
Salah satu cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah pihak pentadbiran perlu melaksanakan ujian penilaian sumatif seperti ujian pertengahan penggal dan ujian akhir tahun bagi menentukan pencapaian murid sebagai satu kumpulan dengan membezakan antara pencapaian pelajar berdasarkan gred yang telah ditentukan. Selain itu, penilaian sumatif juga bertujuan untuk mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan. Apabila guru dapat mengenalpasti tahap pencapaian murid, guru dapat membahagikan murid ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu yang lebih kurang sama arasnya. Dengan sedemikian, guru-guru kelas dapat menjalankan ujian diagnosis yang lebih berkesan kerana setiap daerah kelemahan individu murid dapat dikesan dengan lebih terperinci dan guru dapat menggunakan strategi yang sesuai untuk membantu murid mencapai potensi yang maksimum. 
Selain itu juga, guru boleh meluangkan masa untuk murid dengan mengadakan kelas tambahan bagi mereka yang akan diinklusifkan. Ini bertujuan untuk murid mendapat persediaan awal dengan kemahiran-kemahiran asas untuk mengikuti pembelajaran secara perdana iaitu di dalam kelas yang ramai muridnya dan guru perdana tidak mampu untuk memberikan perhatian kepada semua murid-muridnya. Tambahan juga, kelas tambahan yang diadakan akan dapat membantu murid untuk memahami sesuatu ilmu dengan lebih baik kerana murid pendidikan khas memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami suatu perkara. Oleh itu, guru pendidikan khas yang bertanggungjawab dapat menggunakan strategi yang lebih berkesan dan sesuai dalam membantu murid khas memahami ilmu yang dipelajari dalam kelas aliran arus perdana. 
Akhir sekali, guru-guru perlulah sentiasa menghadiri kursus-kursus untuk meningkatkan keprofesionalisme. Dengan itu, diharap guru terus bersemangat untuk meneruskan tugas dan peranan sebagai pendidik yang lebih berkualiti dan bertindak sebagai pemangkin satu transformasi pendidikan  supaya sistem pendidikan kita akan dapat memenuhi keperluan dan permintaan abad ini selaras dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang di dunia.

1.0  Penutup
Kesimpulannya. pengetahuan tentang pentaksiran semata-mata adalah satu pembaziran sekiranya tidak diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran murid. 


Pentaksiran kemahiran bahasa (membaca, menulis, lisan)
 

No comments:

Post a Comment