Tuesday 18 December 2012

CONTOH JURNAL


Bilangan Jurnal       : Ke-1
Minggu Praktikum   : Pertama
Tarikh Peristiwa / Kejadian            :
Tajuk Jurnal                          : Minggu Pertama di SK

Pada hari pertama, saya bersama 3 lagi rakan seperjuangan melapor diri kepada Pn. Zaimah, selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan .... Kami memperkenalkan diri dan menyerahkan Surat Pengenalan Diri kepada beliau. Kedatangan kami disambut dengan baik sekali. Keramahan beliau menjadikan kami tidak gugup untuk berdiskusi tentang apa yang terlahir di fikiran. Bersama beliau, kami membincangkan beberapa perkara:
1)    Sejarah, peraturan, disiplin dan budaya sekolah
2)    Perkara atau aktiviti yang akan kami sepanjang wakti persekolahan
3)    Program atau aktivit yang perlu kami laksanakan di sekolah
4)    Cara lapor diri dan kedatangan setiap hari di sekolah
Selepas itu, kami diperkenalkan kepada Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas yang mana akan bertanggungjawab ke atas pencapaian objektif praktikum kami di sekolah ini. Bersama beliau, kami mendapatkan beberapa maklumat. Antaranya:
1)    Aktiviti yang akan kami lakukan di sekolah
2)    Program yang perlu kami laksanakan semasa berpraktikum
3)    Mendapatkan maklumat tentang PPKI dan sekolah
4)    Berbincag tentang subjek yang bakal diajar
5)    Mendapat draf jadual
Di samping itu juga, beliau sendiri menjadi guru pembimbing kepada saya dan seorang lagi rakan praktikum. Manakala rakan yang akan menerima seorang lagi guru pembimbing yang berpengalaman.
Pada hari kedua kami berada di sekolah tersebut, kami berasa gentar untuk berhadapan dengan guru-guru yang mana mempunyai banyak pengalaman dalam menghadapi karenah seterusnya mendidik kanak-kanak istimewa ini. Bagaimanapun, semua guru kelihatan baik-baik belaka dan menerima kami dengan hati yang terbuka. Mereka juga memberikan kerjasama yang baik terhadap diri kami yang mana kurang pengalaman secara praktikal dalam menghadapi situasi sebenar. Mereka juga sudi berkongsi cerita, pengalaman, tingkah laku murid serta bagaimana mahu menarik perhatian murid.
Pada hari ketiga, saya mengambil kesempatan untuk meneliti jadual yang diterima dengan teliti. Saya diminta untuk mengambil alih subjek Matematik sebagai subjek major dan Bahasa Melayu sebagai subjek minor. Dengan itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang diperlukan dan maklumat-maklumat yang perlu saya kumpulkan. Antaranya:
1)    Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Matematik dan Bahasa Melayu
2)    Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Matematik dan Bahasa Melayu
3)    Mengumpul maklumat mengenai sekolah
Pada hari ini juga, kami mendapat peluang untuk memasuki kelas pra PPKI. Di sini, subjek pengurusan diri lebih ditekankan sehinggakan ada murid yang masih membunag hajat tanpa memberitahu kepada guru.
Pada hari keempat iaitu 23 Julai 2012, kami telah diminta oleh Guru Penolong Kanan untuk mengganti kelas bagi guru-guru yang tidak dapat hadir ke sekolah. Keadaan ini memberikan kami peluang untuk mengenali murid-murid yang bakal kami ajar dengan lebih dekat. Kami juga dapat mengetahui karenah masing-masing dan bagaimana mahu mengatasi masalah yang bakal kami hadapi. Kami juga meminta pendapat guru-guru lain bagi menambahkan idea dalam mengatasi masalah tersebut. Pada waktu-waktu terluang, saya melengkapakan fail praktikum yang mana memasukkan bahanbahan yang telah diperolehi mengikut susunan yang betul. Pensyarah pembimbing kami telah datang pada hari ini. Kedatangan beliau ke sekolah sebagai lawatan sosial adalah untuk mendapatkan maklumat serta mengetahui perkembangan terkini kami semua sepanjang berada di sekolah tersebut. Beliau turut mengadakan perbincangan dengan guru pembimbing mengenai subjek, peruntukan masa dan projek yang bakal kami laksanakan untuk memnuhi keperluan dalam praktikum ini di samping hal-hal yang lain.
Akhir sekali, pada hari kelima, saya mengemaskinikan fail buat kesekian kalinya. Kami juga diminta untuk mengganti kelas bagi mana-mana guru yang tidak hadir. Peluang ini kami gunakan sebaiknya sekali lagi untuk mencuba cadangan ataupun cara-cara yang dirasakan sesuai untuk menghadapi situasi mereka. Selama seminggi berada di sekolah, kami secara beransur-ansur dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di sekolah ini. Tambahan pula, guru pembimbing sentiasa membuat pemerhatian dan memberikan tunjuk ajar serta nasihat kepada kami agar dapat menjadikan diri kami lebih baik dari sehari ke sehari.

Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh           
  
  

Bilangan Jurnal       : Ke-2
Minggu Praktikum   : Kedua
Tarikh Peristiwa / Kejadian            : 
Tajuk Jurnal                          : Masalah menghadapi Tingkah Laku Murid

1.    Masalah / Peristiwa
Di sepanjang minggu ini, saya telah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran  di dalam kelas K1bagi subjek Matematik dan K3 bagi subjek bahasa Melayu. Setiap murid mempunyai tingkah laku masing-masing. Agak sukar untuk mereka mematuhi arahan saya. Malah, mereka juga menjawab setiap apa yang saya katakan. Selain itu, mereka juga suka bermain jika ada peluang walaupun masih berada dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. Malah, ada yang sanggup mengaku ke tandas walhal dalam keadaan sebenar mereka tidak ke sana.
2.    Analisis
Masalah ini mungkin timbul kerana sikap saya yang tidak tegas pasa minggu pertama berkenalan dengan mereka. Hal ini kerana, pada minggu pertama berkenalan dengan mereka, saya banyak menunjukkan sikap mesra berbanding ketegasan yang perlu ada pada seorang guru. Ini menjadikan mereka hilang hormat kepada guru.
3.    Cadangan Tindakan Susulan
a.    Saya perlu lebih tegas semasa mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dalam mengatasi masalah tingkah laku murid
b.    Saya perlu menyediakan aktiviti hands on  yang melibatkan murid agar mereka kurang masa untuk leka dan bermain
c.    Saya perlu menyediakan token agar murid lebih bersemangat untuk menunjukkan tingkah laku yang positif dan takut untuk kehilangan token jika ganjaran ditarik balik
d.    Saya patut mengulangkaji buku-buku yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti untuk menjalankan proses pengajaran yang lebih menarik dan bermakna kepada murid.
e.    Penggunaan token yang perlu dijaga sendiri oleh murid agar dapat memupuk sikap amanah dan percaya diri dalam diri murid.

4.    Tempoh Masa Tindakan Susulan
Saya akan cuba mengatasi masalah ini dalam tempoh seminggu yang akan datang. Saya perlu menguruskan tingkah laku murid dengan lebih baik agar mereka dapat menjalani proses pembelajaran yang lebih berkesan dan memberi makna kepada mereka. Jika tiada langsung tumpuan yang dapat diberikan oleh mereka, maka pengajaran saya pada hari tersebut tiada maknanya kepada mereka seterusnya menjadikan mereka tidak berminat dengan subjek ini.   

Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh           


Nama                         :
Bilangan Jurnal       : Ke-3
Minggu Praktikum   : Ketiga
Tarikh Peristiwa / Kejadian            : 
Tajuk Jurnal                          : Membuat Mural

Pada minggu ini, saya bersama-sama rakan yang lain merancang untuk menyiapkan projek mural di sekolah. Kami dikehendaki untuk melukis mural sifir iaitu sifir 7, 8 dan 9 pada tiang di blok Pendidikan Khas. Antara peralatan yang diperlukan untuk membuat mural ialah cat mural, berus cat dan bekas kosong.
Mula-mula, kami perlu membuat ukuran saiz kawasan yang digunakan. Hal ini bertujuan agar mural sifir yang kami siapkan ini seragam dengan mural sifir yang sebelumnya. Dua orang telah ditugaskan untuk membuat ukuran manakala saya bersama rakan lain menyediakan peralatan yang diperlukan iaitu cat mural dan berus cat. Bekas kosong diperlukan untuk kami mencampurkan dua warna cat yang berlainan seperti kuning dan putih untuk menghasilkan warna  baru iaitu kuning bata. Saya membancuh warna latar iaitu kuning bata sementara menunggu rakan-rakan membuat ukuran pada tiang. Setelah siap semua ukuran dibuat, kami terus mewarnakan latar.
Antara kebaikan kami menjalankan projek ini ialah kami berpeluang untuk berkolaborasi dengan guru-guru. Mereka banyak membantu dalam memberikan maklumat tentang di mana-mana bahan-bahan boleh diperoleh, memberi pinjam mana-mana bahan seperti berus cat. Malah mereka juga turut menegur dan berkongsi maklumat tentang warna latar yang kami bancuh iaitu warna kuning terlalu terang serta memberitahu tentang langkah-langkah awal sebelum proses mengecat dimulakan. Saya sangat gembira dengan keprihatinan yang mereka tunjukkan.    

Terdapat beberapa kelemahan semasa kami mewarnakan latar ini iaitu pertama, warna yang dibancuh kurang seragam dengan contoh iaitu warna kuning kelihatan masih terang. Jadi, kami membuat bancuhan kedua dengan menambahkan warna putih agar ia kelihatan lebih lembut. Masing-masing memberikan kerjasama yang baik dalam proses mengecat agar ia dapat disiapkan sebelum tamat waktu persekolahan . Tetapi, proses mengecat akhirnya tamat sebelum jam 2 petang. Ini kerana. kami perlu mengecat latar dua kali agar warna latar yang dihasilkan lebih cantik dan berkualiti. 
 Kedua, kami tidak menyediakan surat khabar lama untuk dilapik pada bawah tiang. Keadaan ini menyebabkan banyak  titik cat yang jatuh dan meningglkan kesan pada lantai luar. Terdapat juga kesan cat yang meleleh dari tiang ke lantai. Seterusnya, lantai menjadi kotor dan mural kami tidak kemas untuk dilihat. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah membasahkan sehelai kain buruk dan mengelap mana-mana kesan yang tidak diperlukan. Saya tidak mahu projek yang kami buat tidak kemas dan cantik seperti contoh sebelumnya.
Justeru, saya berharap projek ini dapat disiapkan secepat mungkin dan lebih banyak masa diperuntukkan untuk menyiapkan mural ini. Ini kerana, kami memerlukan masa yang lebih sekurang-kurangnya sehari untuk menunggu cat tersebut betul-betul kering untuk membuat langkah yang seterusnya iaitu mengukur ruang untuk nombor dan menulis sifir di atas latar tersebut.    
  

Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh           


Nama                         :
Bilangan Jurnal       : Ke-4
Minggu Praktikum   : Keempat
Tarikh Peristiwa / Kejadian            :
Tajuk Jurnal                          : Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ihya’ Ramadhan 

Pada 15 Ogos 2012, telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ihya’ Ramadhan 2012 di ruang terbuka Kantin Sekolah. Majlis ini diadakan bersempena menandakan tamatnya kami membaca kitab Al-Quran.
Bagi menjayakan majlis ini, pihak Pendidikan Khas telah memperuntukkan masa setengah jam pada awal pagi iaitu daripada jam 8.00 hingga 8.30 pagi untuk mengaji  Al-Quran. Kami telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan di mana setiap kumpulan akan membaca juzuk-juzuk yang berlainan. Dalam kumpulan saya, ketua kami telah memperuntukkan beberapa muka surat yang akan kami habiskan dalam masa sehari. Bagi memudahkan lagi pengurusan, beliau turut meminta kami membaca secara bergilir-gilir. Cara pengurusan beliau amat saya kagumi. Manakala murid pendidikan khas juga akan duduk di dalam kumpulan masing-masing yang telah ditentukan beliau dan mendengar bacaan daripada guru-guru. Bagi guru yang tidak dapat mengaji, mereka diminta untuk mengawal murid agar lebih berdisiplin dan menumpukan perhatian terhadap bacaan guru.
Untuk menyempurnakan majlis ini lagi, saya dan rakan-rakan ditugaskan sebagai ahli jawatankuasa backdrop dan hiasan pentas. Oleh itu, tugas kami bermula pada sebelum majlis berlangsung dan selepas majlis berlangsung. Pada hari berlangsungnya majlis, kami diminta untuk datang lebih awal agar segala persiapan dapat disiapkan sebelum majlis dimulakan. Kami diminta untuk menyusun bunga-bunga hiasan dan karpet di atas pentas.
Bagaimanapun, kelemahan kami di sini ialah kami tidak sempat untuk membuat perhiasan pentas. Ini kerana, kehadiran kami terlewat untuk proses menghias kerana ia telah dilakukan pada awal pagi sedangkan maljlis dijalankan pada waktu petang. Dengan itu, kami mengambil tugas untuk mengemas pentas selepas majlis berakhir. Di sini, dapat saya pelajari bahawa kerja secara bergotong-royong dan bertolak ansur amat mudah dipraktikkan dengan hati yang terbuka. Kerja yang dilakukan dapat disiapkan dengan cepat dan tersusun.
Majlis ini juga membuka peluang kepada kami untuk berkolaborasi dengan guru-guru dari kelas normal dan semuanya memberikan kerjasama yang baik kepada kami. Malah, ketua jawatankuasa kami juga merupakan seorang guru kelas normal. Walaupun baru berkenalan, kami dapat bekerjasama dengan baik. Dalam suasana sebegini, saya perlu lebih banyak meningkatkan komunikasi serta mencari idea untuk berkomunikasi dengan mereka. Ibarat kata, malu bertanya, sesat jalan.
Diharapkan majlis sebegini dapat terus diadakan untuk mengeratkan ukhuwah sesama guru dan juga murid. 



Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :



Bilangan Jurnal       : Ke-5
Minggu Praktikum   : Kelima
Tarikh Peristiwa / Kejadian            :  
Tajuk Jurnal                          : Aktiviti Kokurikulum – Kelab Kebudayaan

kami telah diminta oleh guru bertugas untuk menguruskan aktiviti Kelab Kebudayaan yang akan diadakan pada esok. Kami diminta bersedia dan merancang aktiviti yang akan dilaksanakan kepada murid pada hari esok.
Memandangkan ini merupakan kali pertama kami untuk menguruskan aktiviti kelab dan persatuan, kami telah mendapatkan maklumat daripada guru penasihat persatuan dan beliau sudi membantu kami dalam memberikan beberapa idea serta cadangan aktiviti yang sesuai dengan murid.
Pada hari tersebut, sesuai dengan Kelab Kebudayaan, kami telah melaksanakan aktiviti nyanyian lagu nasyid. Kami telah menyediakan 3 video lagu nasyid beserta seni katanya untuk dinyanyikan oleh murid. Tajuk nasyid tersebut ialah Teman Sejati – Brothers, Pergi Tak Kembali – Rabbani dan Damai yang Hilang – Nowseeheart.  Manakala seni kata pada lagu berfungsi agar murid yang dapat mengeja dan membaca dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut semasa menyanyikan lagu. Setiap lagu yang dinyanyikan akan diulang 3 kali agar murid dapat mengikut lagu dengan baik. Di samping itu juga, kami turut mencelah dengan menyoal murid agar murid terus peka dengan lagu yang dinyanyi serta video yang ditayangkan. Murid juga diminta untuk melakukan pergerakan mudah seperti menepuk tangan sebagai terapi pergerakan motor kasar semasa menyanyikan lagu. Setelah lagu diulang sebanyak 3 kali, guru dan murid bersoal jawab dan melakukan perbincangan mengenai isi kandungan yang terdapat pada lagu. Contohnya perihal teman sejati, ciri-ciri kawan yang baik, perkataan yang seerti dengan teman, doa untuk orang yang telah tiada, contoh sifat kemanusiaan dan sebagainya.       
Antara kekuatan aktiviti yang kami laksanakan ini ialah pemilihan lagu yang sesuai dan penuh dengan nilai – nilai pengajaran untuk murid. Contohnya kepentingan seorang teman kepada manusia seperti perkongsian kasih saying, kesan ketiadaan nilai kemanusiaan dalam diri manusia serta gambar video memaparkan gambar kesan buruk sekiranya tiada lagi sifat kemanusiaan seperti tiada tumbuhan, hidupan, air dan manusia yang berpecah belah, dan akhir sekali perasaan jika kehilangan orang tersayang. Semua murid kelihatan sangat teruja dan berminat untuk menyanyikan lagu malah murid yang kurang mahir mengeja juga cuba mengikut nada dengan mambunyikan ‘aaaa…’ sahaja sama seperti dengan lirik lagu. Oleh itu, penambahbaikan yang saya perlu lakukan untuk aktiviti ini ialah membesarkan skrin video yang ditayangkan agar semua murid dapat melihat tayangan video dengan lebih jelas malah dapat membaca lirik lagu dengan jelas. Tindakan susulan yang patut saya ambil ialah menyediakan projector ataupun sekurang-kurangnya menggunakan laptop yang berskrin besar dan tidak menggunakan notebook yang sememangnya kecil.
Terdapat jiga kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti kami. Semasa melaksanakan aktiviti, barulah saya terperasan yang kami kurang melaksanakan aktiviti secara bergerak. Contohnya melakukan pergerakan mudah sesuai dengan seni kata lagu seperti memegang tangan, menggerakkan tangan dan kaki secara mudah. Dengan itu penambahbaikan yang dapat saya lakukan di sini ialah membuat perancangan aktiviti dengan lebih teliti dan mengambilkira semua aspek JERIS dengan lebih berkesan. Tindakan susulan yang patut saya ambil ialah mencari den menonton video nasyid dan mengambil contoh-contoh pergerakan yang dilakukan untuk diaplikasikan kepada murid.
Akhir sekali, saya berharap agar pengurusan aktiviti yang bakal kami laksanakan pada program akan datang akan menjadi lebih baik, menarik malah berkesan kepada murid.  


Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh           



Nama                         :
Bilangan Jurnal       : Ke-6
Minggu Praktikum   : Keenam
Tarikh Peristiwa / Kejadian            : 
Tajuk Jurnal                          : 1 Sukan 1 Murid – Permainan Hoki

saya dan rakan-rakan yang lain telah diberi tugasan untuk menguruskan program 1 Sukan 1 Murid pada hari ini. Permainan yang akan kami perkenalkan kepada murid ialah sukan hoki.  
Sebelum bermula waktu tersebut iaitu pada jam 12.20 – 12.50 petang, kami terlebih dahulu ke stor Pendidikan Jasmani untuk memeriksa peralatan yang bakal kami gunakan. Kami mendapati bahawa kayu hoki dan bola hoki berada dalam keadaan baik dan berfungsi malah mencukupi untuk aktiviti yang bakal kami laksanakan. Bagaimanapun, kami akhirnya membuat keputusan untuk memilih bola softball atas faktor keselamatan murid. Bola hoki yang sebenar didapati sangat keras dan boleh membahayakan murid jika dipukul terlalu laju. Lebih-lebih lagi bukan semua murid tahu dan pernah bermain permainan ini. Kami memilih kawasan padang untuk aktiviti pada kali ini. Hal ini kerana, murid  perlu melakukan aktiviti menolak bola dan kami memerlukan kawasan yang agak luas. Murid telah dipecahkan kepada dua kumpulan. Murid kumpulan satu akan menolak bola kepada murid kumpulan dua, kemudian murid kumpulan dua akan kembali menolak bola kepada murid kumpulan satu dan seterusnya sehingga murid akhir. Murid akan menolak bola dalam dua pusingan. Selepas itu, murid dibahagikan dalam kumpulan kecil. Mereka diminta untuk cuba memukul bola kepada kawan dalam jarak dekat. Kemudian, jarak tersebut dibesarkan sebagai ansur maju.
           
 Kebaikan pada sesi pengajaran dan pembelajaran pada kali ini ialah kami telah merancang aktiviti ansur maju permainan hoki. Aktiviti ini penting kerana bukan semua murid tahu dan pernah bermain hoki. Penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah setiap aktiviti ansur maju boleh diulang beberapa kali sehingga murid betul-betul menguasai apa yang diajar. Tindakan susulan yang boleh diambil ialah guru boleh mengasingkan murid yang telah tahu permainan dan yang lemah agar murid yang tahu dapat kemahiran yang lebih tinggi manakala murid yang lemah dapat menguasai kemahiran yang asas.   
            
Kelemahan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran pada sesi kali ini ialah pengurusan murid yang kurang terkawal. Terdapat murid yang bermain terlalu jauh daripada kami. Sepatutnya, kami terlebih dahulu memikirkan terhadap perkara yang mungkin berlaku jika menggunakan kawasan yang terlalu luas seperti padang. Cara mengatasi yang boleh diambil ialah menandakan kawasan yang diperlukan dan mengeluarkan peraturan kepada murid untuk tidak melebihi kawasan yang ditandakan. Tindakan susulan yang boleh diambil ialah menggunakan kon untuk menandakan kawasan yang diperlukan.
           
Peluang sebegini amat bagus kepada kami kerana ia dapat memberikan kami peluang untuk belajar bagaimana menguruskan murid di luar kelas. Diharap pengurusan dan pengawalan murid kami akan bertambah baik pada sesi akan datang.

Disemak oleh guru pembimbing


Tandatangan:
Nama             :
Tarikh            :
Disemak oleh pensyarah pembimbing


Tandatangan:
Nama             : 
Tarikh           


1 comment: