Friday 21 December 2012

REFLEKSI BINA INSAN GURU (BIG)


Pengenalan
Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang wajib disempurnakan oleh semua guru pelatih Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (Pendidikan Rendah) Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini bertujuan untuk menerapkan kefahaman dan penghayatan nilai dan etika keguruan kepada semua guru pelatih. Guru pelatih dapat membina pemikiran positif dan memiliki motivasi kendiri terhadap kerjaya keguruan. Justeru itu, fokus utama program ini dilaksanakan adalah untuk membentuk sikap-sikap yang harus dimiliki oleh seorang guru melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan memupuk semangat keguruan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sebagai bakal pembentuk penjana negara masa hadapan.
Bagi melengkapkan pengajian saya pada semester ini, saya telah mengikuti program BIG selama sehari di Zoo Negara, Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Mac 2011. Taklimat telah disampaikan oleh pengerusi program, Mohd Rizuan Ghomat pada sehari sebelumnya dengan jelas. Bagaimanapun sebelum program bermula, semua peserta yang terlibat telah berkumpul dan melakuka perbincangan bagi mendapatkan kefahaman lebih mendalam mengenai tujuan program serta melakukan pembahagian tugas-tugas semasa program berlangsung. Program ini agak menerujakan perasaan saya memandangkan ia melibatkan kerja-kerja amal di zoo atau sukarelawan di mana melibatkan hubungan antara manusia dengan manusia dan manusia dengan haiwan. 







Refleksi
Sesuai dengan namanya iaitu Bina Insan Guru (BIG), saya mendapat pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru semasa menghadiri program ini selama sehari iaitu pada 29 Mac 2010 yang bertempat di Zoo Negara, Ampang, Kuala Lumpur.
Kami bertolak ke destinasi tepat jam 7.30 pagi. Saya telah ditugaskan untuk menyediakan sarapan pagi untuk semua peserta yang terlibat termasuk pensyarah pembimbing. Setibanya di sana, kami disambut oleh pegawai yang bertugas dengan hati yang terbuka. Kami diberi taklimat keselamatan dan dipecahkan ke stesen-stesen yang berlainan mengikut kumpulan kecil. Saya bersama 4 peserta diarahkan ke stesen burung. Kami juga dinasihatkan di sini untuk melakukan tugasan seperti petugas-petugas yang lain malah turut ditegaskan untuk tidak bermain dengan telefon bimbit semasa  waktu bekerja.
Setibanya di stesen tersebut, sesi perkenalan berlangsung. Semua petugas menyambut kami dengan senyuman serta lapang dada menerima kehadiran kami. Kami memulakan tugas dengan bergotong-royong membersihkan kawasan. Antara kawasan yang dibersihkan ialah pejabat, bilik eraman telur burung, dapur, ruang legar, taman burung serta kawasan persekitaran. Kami perlu menyiapkan tugasan ini sebelum zoo dibuka dan menerima kehadiran tetamu.
Masa rehat pertama kami turut ditentukan iaitu selama setengah jam sahaja. Maksudnya, masa itu sangat berharga walaupun di mana kita berada. Kami perlu tepat dalam pengurusan waktu seperti petugas-petugas yang lain.
Selepas 10.30 pagi, kami ditugaskan untuk menolong menyediakan makanan  burung. Kami diminta untuk memotong sayur-sayuran, daging dan ikan segar. Semua makanan ini adalah untuk simpanan keesokan hari. Barulah saya mendapat tahu bahawa pemberian makanan kepada haiwan di sini sangat teliti. Jumlah makanan mereka disukat terlebih dahulu. Bahan mentah yang rosak juga perlu dibuang. Jika masih diberikan, kemungkinan haiwan tidak mahu makan dan akan jatuh sakit.
Selepas rehat kedua, kami dibawa masuk ke taman oleh petugas untuk memberi makanan kepada burung-burung. Peluang yang ditunggu-tunggu ini tidak kami lepaskan. Di samping itu, kami juga dapat berkenalan dengan lebih dekat dengan haiwan-haiwan yang ada. Selain memberi makan, petugas turut memperkenalkan kami dengan beberapa haiwan yang tidak terlalu liar seperti burung hantu, burung unta dan lain-lain lagi. Kami juga diberi peluang untuk memegang burung hantu di atas lengan masing-masing. Pengalaman di sini amat berharga bagi saya. Bukan senang untuk mendapat peluang menyediakan sendiri keperluan makanan dan memberi makan kepada haiwan-haiwan.
Program diakhiri pada jam 4.30 petang dengan ucapan penutup daripada pegawai yang bertugas dan wakil pensyarah. Sedikit cenderahati diberikan kepada pihak Zoo Negara kerana sudi menerima kehadiran kami sebagai sukarelawan di sini.
Melalui program BIG, saya dapat memahami dan menghayati konsep nilai dan etika perguruan dengan lebih jelas. Interaksi guru tidak terhad kepada murid sahaja. Seorang guru perlu melengkapkan ilmu dalam semua aspek walaupun tidak mahir. Pengalaman yang diperolehi akan membantu guru untuk menyampaikan ilmu dengan lebih yakin dan tidak hanya berdasarkan bacaan atau pendengaran semata-mata.
 Saya perlu membentuk pelbagai sikap positif dalam diri untuk tampil sebagai seorang guru yang berkaliber di sekolah kelak. Rupa-rupanya, segala aktiviti yang dilaksanakan semasa program berlangsung mempunyai objektif tersendiri demi memastikan perkembangan potensi guru pelatih secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu dan meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia sesuai dengan apa yang digariskan dalam matlamat pendidikan negara. Untuk melahirkan pelajar yang berkualiti, guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan sikap-sikap mahmudah terlebih dahulu.   
            Paling penting, saya dapat meningkatkan potensi dalam menguasai kemahiran komunikasi. Saya dapat bergaul baik dengan rakan-rakan baru dalam kumpulan yang ditentukan, berkenalan dengan petugas di sana, saling bekerjasama dalam setiap tugasan, malahan masing-masing menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan peranan. Bagaimanapun, melalui salah satu aktiviti yang dijalankan, saya dapat mengenalpasti beberapa kelemahan diri. Walaupun saya seorang yang mudah mesra, tetapi saya juga seorang pemalu untuk memulakan perbualan dengan rakan baru. Selain itu, saya juga mudah kehilangan kata-kata dan idea semasa berkomunikasi. Mujurlah semua petugas dalam kumpulan kami bersikap ramah. Mereka sudi menerangkan serta mendemonstrasi satu persatu tugas yang perlu dilakukan dengan jelas.
Justeru, kelemahan ini perlu saya baiki memandangkan interaksi amat penting dalam mengekalkan suatu perhubungan. Jadi, saya telah mengambil beberapa inisiatif seperti membaca majalah untuk menambahkan pengetahuan, belajar teknik komunikasi yang betul melalui komunikasi dengan rakan-rakan serta sentiasa melatih diri untuk senyum dengan sesiapa sahaja. Saya juga perlu untuk lebih terlibat dengan aktiviti luar  untuk meningkatkan keyakinan diri di samping menambahkan ilmu pengetahuan.     
            Konklusinya, pengalaman menjadi sukarelawan di zoo ini amat saya hargai. Ia dapat memupuk pemikiran positif dan motivasi kendiri saya terhadap setiap kerjaya yang ada terutama sebagai pendidik. Setiap tugasan yang kita lakukan walaupun dilihat tidak hebat tetap mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Interaksi manusia dengan alam juga tidak dapat dipisahkan. Diharap agar BIG seterusnya akan terus meningkatkan semangat saya untuk terus berada di dunia pendidikan yang penuh cabaran.








No comments:

Post a Comment