Tuesday 18 December 2012

laporan dan refleksi big lawatan penanda aras


Laporan Program Lawatan Penanda Aras Guru Cemerlang

Tarikh                                     : 8 Oktober 2012
Tokoh Guru Cemerlang      : Puan Hajah Rosnah binti Dato’ Haji Salleh
Tempat                                   : Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu, Kuala Lumpur

Pada 8 Oktober 2012, seramai 36 orang guru pelatih dari Kumpulan G6.6 dan G6.7 telah mengadakan Lawatan Penanda Aras (Bench Marking) Guru Cemerlang di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu, Kuala Lumpur. Seorang Pensyarah Pembimbing  iaitu Pn. Vijaya Letcmy turut mengiringi kami ke sekolah tersebut.
Berikut merupakan tentatif program Lawatan Penanda Aras (Bench Marking) Guru Cemerlang di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu, Kuala Lumpur:

TENTATIF PROGRAM LAWATAN PENANDA ARAS (BENCH MARKING)
GURU CEMERLANG
            8.00 pagi        :Tiba di sekolah
            8.30 pagi        :Temubual bersama Guru Cemerlang Pendidikan Khas
                                     Puan Hajah Rosnah binti Dato’ Haji Salleh
                                     Soal jawab  
            10.00 pagi     :Minum pagi
            10.30 pagi     :Lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
            1.00 petang   :Bersurai
           





            Setibanya di sana, kami disambut mesra oleh Guru Cemerlang itu sendiri iaitu Puan Hajah Rosnah binti Dato’ Haji Salleh dengan senyuman lebar. Kami dipersilakan ke bilik mesyuarat di tingkat 2 untuk sesi seterusnya.
            Dalam bilik mesyuarat tersebut, kami dapat berkenalan dengan lebih rapat mengenai beliau. Selain memperkenalkan diri secara umum, beliau turut menceritakan serba sedikit tentang latar belakang pendidikan dan sejarah keluarga. Menurut Puan Hajah Rosnah, pada asalnya beliau merupakan seorang guru kelas perdana dan mula terjebak dalam dunia Pendidikan Khas kerana ingin bersama mendidik anaknya yang menghidap epilepsi seterusnya menyebabkan anaknya menjadi lembam / slow learner pada tahun 1991. 
            Puan Hajah Rosnah merupakan seorang guru yang aktif. Selain bertugas sebagai pendidik, beliau turut terlibat dalam pelbagai tugas lain dalam dunia pendidikan. Antaranya ialah penglibatan dalam pembentukan kurikulum Pendidikan Khas, merupakan salah seorang panel dalam pembentukan bidang tugas Pembantu Pengurusan Murid (PPM), kompetensi bidang tugas guru dan penyediaan borang kemasukan murid Orang Kelainan Upaya (OKU) ke sekolah. Untuk menjadi seorang yang cemerlang, Puan Hajah Rosnah memberikan tips iaitu ‘Jangan MALAS’. Perkataan ‘Malas’ perlu dibuang dalam kamus hidup.
            Berkat usahanya, beliau telah memperoleh beberapa anugerah kecemerlangan yang boleh dibanggakan. Antaranya ialah anugerah Guru Cemerlang beberapa kali, anugerah Penyelaras Cemerlang, anugerah Program Cemerlang, Guru Pendidikan Khas Cemerlang peringkat Kebangsaan, Guru Bestari oleh Yayasan Pendidikan Cheras dan Ibu Kiwanis. Selain itu juga, beliau turut dijemput dari semasa ke semasa untuk menyampaikan ceramah, motivasi, berkongsi pendapat dengan guru-guru dan ibu bapa.
            Di samping itu, guru cemerlang ini juga tidak lokek untuk berkongsi maklumat apa yang perlu dilakukan dan apa yang dilakukan beliau untuk mendapatkan anugerah Guru Cemerlang. Pertama, mestilah menjadi guru sekurang-kurangnya 5 tahun tempoh perkhidmatan. Selain itu, guru juga mestilah memiliki beberapa buah buku yang pernah ditulis dan yang paling utama ialah apa yang guru lakukan di sekolah. Misalnya yang dilakukan beliau di sekolah ialah mewujudkan stesen-stesen mengikut subjek di mana murid dapat berdikari untuk ke kelas masing-masing, menyediakan buku di setiap stesen pengajaran dan pembelajaran dan membawa murid mengikuti pelbagai aktiviti luar seperti terapi renang di Bangsar, terapi kuda di Kelab Polo TUDM. Tidak lupa juga pesanan beliau untuk terus kita menghormati Guru Penolong Kanan dan Guru Besar walau siapapun kita dan banyak manapun aktiviti yang kita anjurkan.
            Selepas sesi minum pagi, kami dibawa melawat ke kelas-kelas Pendidikan Khas. Kami turut diperkenalkan dengan beberapa orang murid yang menjadi harapan beliau untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan seperti murid-murid khas lain yang berjaya masuk ke pengajian tinggi. Pembahagian kelas-kelas mengikut stesen juga dilihat mampu mendidik murid untuk berdikari dalam pembelajaran seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Susun atur dan kemudahan dalam setiap bilik darjah juga dapat memenuhi keperluan setiap murid dengan baik dan pelbagai. Selain itu, kami juga ditunjukkan dengan beberapa plak anugerah dan gambar yang diperoleh beliau seterusnya mencetuskan semangat dalam jiwa kami untuk turut sama mengikut jejak langkah beliau.
            Akhir sekali, selepas sesi bergambar dan bersalaman dengan guru-guru, kami pun bersurai. Diharap agar program seperti ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa bertujuan untuk semarakkan jiwa kami untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan. 


Refleksi BIG – Lawatan Penanda Aras (Bench Marking) Guru Cemerlang

Bersyukur kepada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu kerana dengan izin-Nya saya dan rakan seperjuangan telah berjaya menamatkan salah satu komponen wajib yang mesti dilalui semasa kursus perguruan bagi semester 6 ini iaitu menjalani program Bina Insan Guru (BIG) pada 8 Oktober 2012 setelah terpaksa menghadapi beberapa kekangan untuk melaksanakan tugasan ini.
Melalui sesi bersama guru cemerlang ini saya mendapat banyak input baru mengenai proses – proses untuk mendapatkan gelaran guru cemerlang. Antara proses yang perlu dipelajari ialah seseorang guru tersebut mestilah berkhidmat sekurang –kurangnya lima tahun dan telah disahkan jawatan sebagai guru. Kemudian, guru boleh memohon kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengisi borang guru cemerlang dalam talian.
Seterusnya, guru mestilah mendokumentasikan kajian tindakan, lembaran kerja, refleksi pembelajaran, senarai pelajar, markah dan pencapaian pelajar ( akademik ataupun kokurikulum ) untuk memudahkan proses apabila dinilai oleh jemaah nazir nanti. Seorang guru cemerlang mestilah menyumbang kepada pihak sekolah dalam bidang yang ingin dimohon dan juga memberi sumbangan kepada pihak luar sekolah bagi kecemerlangan subjek tersebut.
Berikutnya, kelemahan yang dilihat sepanjang Bina Insan Guru adalah semua guru pelatih pada awalnya kelihatan segan dengan Puan Hajah Rosnah binti Dato’ Haji Salleh. Semua guru pelatih kelihatan malu – malu untuk bertanya soalan semasa sesi soal jawab dijalankan. Namun, selepas itu, semua guru pelatih bersemangat untuk bertanyakan soalan. Masing – masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan tips dan info berkenaan dengan guru cemerlang ini.
Kelemahan lain yang dilihat adalah terdapat segelintir guru pelatih yang datang lambat sebelum melawat Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu, Kuala Lumpur. Kelewatan yang dialami sedikit sebanyak telah melambatkan perjalanan program kami pada hari tersebut. Namun begitu, pada masa akan datang semua guru pelatih perlu menepati masa kerana ini sedikit sebanyak memberi persepsi negatif kepada bakal guru yang tidak prihatin dengan ketepatan masa mereka.
Kemudian, kelemahan lain ialah guru pelatih dilihat kurang memberikan perhatian semasa guru cemerlang sedang menyampaikan ucapan. Masing – masing asyik bersembang sehingga kadangn kala menyebabkan bunyi bising. Namun begitu, mereka mula fokus dan komited dengan pengajaran guru cemerlang selepas sedar akan keadaan tersebut.
Oleh itu, program Bina Insan Guru pada semester ini banyak membantu saya meningkatkan pengetahuan berkenaan dengan profesion keguruan dan juga memberi pendedahan kepada kami untuk melengkapkan diri dengan semaksimum mungkin untuk memberi kepuasan semasa bekerja sebagai guru. Kepuasan seorang guru tidak terletak pada gajinya tetapi apabila melihat kejayaan pelajarnya memahami sesuatu perkara yang diajar. 

No comments:

Post a Comment