Tuesday 18 December 2012

laporan homebased


LAPORAN AKTIVITI HOME BASED PROGRAM KHIDMAT SISWA
PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI SEMENYIH

Tarikh             : 5 Oktober 2012
Hari                 : Jumaat
Masa              : 9.00 pagi – 12.30 tengah hari
Tempat           : Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semenyih

1.0  Pengenalan
Aktiviti home-based merupakan program pemulihan yang dijalankan di rumah Orang Kelainan Upaya yang tidak dapat hadir ke PDK kerana kecacatan yang dialaminya ataupun bermasalah dalam pengangkutan. Jurulatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan ke rumah pelatih PDK untuk menjalankan latihan pemulihan. Aktiviti ini juga merupakan salah satu aspek penilaian dalam program PDK selain ianya adalah salah satu lawatan pekerja PDK ke rumah pelatih yang tidak dapat hadir ke pusat. Aktiviti home –based dijalankan untuk memberi pendedahan kepada peserta Program Khidmat Siswa mengenai pengurusan home-based yang dijalankan oleh pihak pentadbiran PDK di samping melibatkan diri peserta dalam membantu ibu bapa melakukan aktiviti yang berkaitan bersama anak mereka/pelatih PDK semasa berada di rumah.  
2.0  Pelaksanaan
Sebelum menjalankan Program home based bersama warga PDK Semenyih, kami telah berjumpa dengan Penyelia PDK Semenyih, Puan Azah bagi mendapatkan serba sedikit maklumat tentang aktiviti home based yang akan dilakukan. Menurut beliau, kami akan melawat ke 4 buah rumah pelatih PDK yang mengalami pelbagai masalah. Pada kebiasaannya, aktiviti terapi dan temu ramah akan dijalankan di rumah pelatih bagi melembutkan otot dan menguatkan penguasaan fizikal pelatih di samping memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa bagaimana untuk membantu anak mereka di rumah khasnya dalam urutan fizikal. Manakala melalui sesi temu ramah, pihak PDK dapat mengetahui perkembangan pelatih dengan lebih tepat seterusnya tindakan susulan untuk aktiviti akan datang dapat diambil agar sesuai dengan perkembangan pelatih. Namun, setelah beberapa susulan yang dibuat, hanya 3 buah rumah pelatih sahaja yang terlibat.
Jadi, kami berpecah kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri 4 – 5 orang guru pelatih. Aktiviti ini kami laksanakan pada hari Jumaat, 5 Oktober 2012. Setiap kumpulan akan diiringi oleh 2 orang pihak PDK. Sebelum bertolak ke rumah pelatih, kami telah diminta untuk berkumpul di perkarangan PDK sebelum bertolak. Kami bergerak agak lewat sedikit kira – kira jam 9.30 pagi kerana menurut pihak PDK, sedikit masa perlu diberikan kepada wakil rumah untuk melakukan persiapan dan rutin harian mereka.
 Kumpulan satu iaitu Fatin Hafizah, Hadzizan, Jakri dan Hidayah melawat ke rumah Umaiyah. Umaiyah yang berusia 6 tahun merupakan penghidap penyakit Cerebral Palsy (CP). Bagaimanapun dia merupakan seorang kanak-kanak yang kuat dan tabah. Dia tidak mengeluh malah berusaha untuk berdikari. Semangat yang ditunjukkan adik Umaiyah ini menginsafkan kami yang mana terlalu banyak kami ‘mengalah sebelum melangkah’ sedangkan kami lebih mampu untuk melakukannya. Buktinya, adik Umaiyah telah mampu berjalan dengan menggunakan ‘walker’ dan dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan berpegang pada dinding ataupun sokongan lain pada jarak dekat. Tahap kognitif Umaiyah juga baik seperti mana kanak – kanak yang seusia dengannya. Selain dapat mengenal huruf dan nombor, Umaiyah juga mampu untuk membaca suku kata. Di sana, banyak pengalaman yang dikongsikan oleh ibunya. Beliau berkongsi perasaan, bagaimana menjaga anak kelainan upaya ini, latihan yang diberikan serta sokongan yang diterima terutama galakan daripada keluarga serta bagaimana mahu menyokong anaknya pula agar terus positif menghadapi hari – hari yang mendatang.  
Manakala kumpulan kedua diwakili oleh Hasriah, Aizuddin, Musa dan Addina. Mereka telah melawat ke rumah Syahirah yang berusia 6 tahun. Adik Syahirah ini telah dijaga oleh emaknya yang juga pemegang kad OKU. Beliau menghidap penyakit lumpuh sebelah kanan sejak dari kecil lagi. Menurut beliau, Syahirah telah menghidap demam panas dan sawan semasa berusia 3 bulan. Oleh sebab itu, kedua – dua belah kakinya bengkok dan jari tangannya tergenggam tanpa boleh dibuka. Selepas mengikuti latihan terapi di Hospital Kajang dan PDK Semenyih ini, keadaan fizikal Syahirah menunjukkan perkembangan positif. Tahap kognitif adik Syahirah adalah normal. Selaku kanak – kanak yang berusia 6 tahun, dia sudah mengenal huruf dan nombor. Diharapkan adik Syahirah akan terus mengalami perkembangan positif dalam kemahiran fizikal seterusnya dapat memudahkan dia untuk belajar di sekolah pada tahun hadapan.    
Dan yang terakhir kumpulan tiga yang terdiri daripada Edna, Hadawiyah,  Nuraisya, Faatihah dan Fatihah. Kami diizinkan untuk melawat ke rumah Amin yang mana merupakan seorang kanak-kanak slow learner. Amin berusia 14 tahun dan telah mengikuti program Pendidikan Khas di sekolah menengah. Bagaimanapun, dia tetap ke PDK  dua kali seminggu bagi meningkatkan kemahiran dalam aspek sosial dan komunikasi. Di PDK ini, kebanyakan aktiviti yang dijalankan lebih bertumpu kepada pengurusan diri dan pelbagai kemahiran seperti kraftangan dan muzik serta nyanyian. Aktiviti seperti sangat sesuai untuk Amin memandangkan dia dapat melibatkan dirinya untuk berinteraksi dan bersosial dengan pelatih yang lain. Di sekolah juga, Amin sangat cemerlang dalam bidang sukan terutama olahraga. Semasa sesi temubual bersama ibunya, kami mencadangkan untuk ibunya cuba mengambil tindakan lanjut untuk kemasukan Amin ke Paralimpik bagi tidak mensia –siakan bakatnya melalui guru sekolah.
3.0  Kekuatan Aktiviti dan Penambahbaikan
Pada mulanya, kelihatan seperti tiada apa – apa yang dapat kami pelajari untuk program home based ini, hanya sekadar mengikut dan memerhati. Namun, sangkaan kami silap. Begitu banyak maklumat dan pengalaman yang sudi dikongsi oleh keluarga pelatih yang terlibat. Hal ini menjadikan kami untuk lebih prihatin dan tidak memandang sesuatu secara negatif serta ambil mudah sahaja. Melalui perkongsian mereka, kami dapat menyimpulkan bahawa ‘berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Bukan senang untuk menjaga pelatih ini dari pagi sehinggalah malam. Segalanya bukan sekadar perlu diperhatikan malah perlu diambil perhatian. Diharap pemerhatian dan perkongsian pengalaman ini tidak akan disia – siakan oleh bakal guru yang menanggung harapan tinggi para ibu – bapa untuk melihat anak masing – masing berjaya.

Selain  itu, apabila berkunjung ke rumah pelatih, kami juga dapat memerhati secara langsung bagaimana kehidupan mereka dalam sehari-harian, bagaimana mereka dilayan oleh  keluarga, serta aktiviti yang dibuat di tumah untuk menyokong perkembangan diri mereka. Misalnya, Umaiyah dan Syahirah begitu didorong oleh keluarga masing – masing untuk belajar walaupun keadaan fizikal mereka kurang mengizinkan. Di rumah, mereka memiliki buku belajar sendiri dan akan menyiapkannya pada waktu lapang. Situasi ini memberi pengajaran kepada kami agar tidak merendahkan kemampuan seseorang berdasarkan keadaan fizikal mereka.
Aktiviti ini juga tidak mendatangkan masalah bagi kumpulan kami. Hal ini kerana, kami mempunyai pengangkutan yang mencukupi untuk bertandang ke rumah pelatih. Pihak PDK juga menawarkan kami untuk menumpang mereka jika kami ketiadaan kenderaan. Kami mendapat layanan yang begitu baik daripada pihak PDK serta keluarga pelatih yang sudi menerima kedatangan kami. Oleh itu, kami turut menyediakan sebuah hamper untuk disedekahkan kepada keluarga pelatih sebagai tanda penghargaan.
4.0  Kelemahan Aktiviti dan Cara Mengatasi
Di dunia ini tiada benda yang sempurna. Walaupun sesuatu benda itu nampak sempurna, mesti tetap ada kepincangannya. Aktiviti ini nampak mudah iaitu guru pelatih perlu menziarah ke rumah pelatih, namun pada hakikatnya banyak yang kami perlu bersedia terutama daripada aspek soalan. Sepatutnya, kami menggunakan sepenuhnya waktu tersebut untuk memperoleh sebanyak mungkin maklumat. Lebih – lebih lagi individu yang terlibat adalah ibu bapa pelatih sendiri. Ini bermakna, segala maklumat yang diterima adalah benar dan betul – betul dialami oleh mereka, bukan direka. Antara soalan yang kami boleh dikaitkan ialah latar belakang pelatih, punca pelatih menghidap penyakit, bagaimana penerimaan keluarga dan rawatan – rawatan yang dilakukan untuk memulihkan anak. Segala isu persoalan yang ditimbulkan boleh dicatat pada buku nota sebelum sesi temu ramah berlangsung.  Dengan itu, sesi temu ramah akan berlaku dengan lancar dan tidak kaku seperti yang berlaku.
           
Selain itu, kami juga tidak menyediakan borang soal selidik. Selain dapat dilampirkan sebagai bukti, maklumat yang terdapat dalam borang selidik juga lebih tersusun dan berguna. Hal ini kerana, terlebih dahulu kita perlu mengenalpasti tujuan borang dibina serta mencari seberapa banyak maklumat yang berkaitan dengan tujuan tersebut. Penyusunan soalan dapat dibuat secara teratur dan berperingkat. Contohnya peringkat sebelum, soalannya ialah punca kejadian dan bila keluarga sedar tentang masalah anak; peringkat semasa, soalannya ialah rawatan yang sedang dilalui oleh anak, ubat – ubatan yang diambil dan terapi yang sedang diterima; dan peringkat selepas, kesan terapi yang dilakukan, kesan ubat – ubatan yang diambil serta perkembangan pelatih dari aspek jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial  Dengan itu, sesi temu ramah yang berlangsung dapat berlaku secara lancar dan berkembang. Secara tidak langsung juga, kita telah membuat persediaan yang sangat rapi sebelum aktiviti berlangsung. Oleh itu, untuk persediaan yang lebih sempurna pada masa akan datang, kami perlu menyediakan set soalan soal selidik agar segala persoalan dapat dirungkaikan tanpa berlaku ketinggalan maklumat.
5.0  Penutup
Secara keseluruhannya, aktiviti ini mampu memberikan kami pengalaman secara langsung mengenai kehidupan pelatih PDK dalam menguruskan kehidupan harian mereka sesempurna mungkin. Diharap agar semua guru pelatih yang terlibat mengambil iktibar dan menyemat semangat yang tinggi untuk terus medidik mereka malah menggilap potensi mereka untuk terus cemerlang dalam kehidupan.

Disediakan oleh :

____________
(NURUL FATIHAH BINTI CHE RASHID)
Pengerusi aktiviti home based,
Program Khidmat Siswa,
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Semenyih.

No comments:

Post a Comment